Sabah&Sarawak: Bangkai, ramuan langkau
Oleh Kandau Sidi
kandausidi@bharian.com.my
Ragi, beras serta gula dikukus tiga hari, hasilkan minuman keras lebih 'power'
KUCHING: Bangkai biawak, ular, kucing atau anjing yang direbus bersama daun lalang.
Itulah rahsia ramuan untuk membuat ‘langkau’ sejenis arak buatan tempatan yang agak murah di Sarawak dan proses pembuatannya hampir sama dengan samsu haram yang terkenal di India.
Lima ramuan rahsia itu adalah antara pelbagai resipi tambahan yang digunakan oleh pembuat ‘langkau’ untuk menghasilkan minuman keras itu supaya ia lebih ‘power’.
Ramuan utama lain ialah ‘ragi’ sejenis adunan tepung beras yang dimasak dan dicampur dengan lengkuas, halia, bunga cengkih dan kayu manis. Turut digunakan ialah beras, air dan gula.
Seorang bekas pembuat ‘langkau’ yang sudahpun tidak terbabit dalam aktiviti berkenaan sejak lima tahun lalu berkata, pembuat minuman keras itu mencampurkan pelbagai ramuan rahsia untuk menjadikannya lebih 'power'.
Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Martin, 59, berkata, kejayaan pembuat ‘langkau’ bergantung kepada ‘umph’ (ketinggian paras alkohol) yang ada pada minuman berkenaan.
"Pembeli sebenarnya tidak akan tahu apa ramuan rahsia yang kita gunakan untuk menjadikannya lebih power.
“Apa yang penting bagi pembeli ialah tahap kekuatan minuman itu. Lebih kuat lebih baik,” katanya ketika membuat pendedahan itu kepada Berita Harian.
Martin seorang daripada pembuat langkau agak popular di kalangan penduduk di utara Sarawak ketika zamannya berkata, selain bangkai haiwan ramuan lain yang turut digunakan bagi menjadikan minuman itu lebih ‘umph’ ialah mencampurkannya dengan pelbagai jenis pil.
Tanpa menyatakan pil yang dimaksudkan itu, beliau berkata, banyak resepi rahsia dan pendekatan berbeza digunakan pembuat minuman keras itu untuk melariskan jualan mereka.
Katanya, empat komponen utama diperlukan membuat minuman keras itu iaitu ragi, beras, gula dan air.
Ragi dijual secara terbuka dengan harga RM12 sekilogram dan bahan sama turut digunakan membuat ‘tuak’ sejenis lagi minuman keras popular di kalangan masyarakat Dayak di Sarawak dan kerap dihidangkan ketika perayaan seperti Gawai Dayak dan perayaan lain.
Proses membuat langkau katanya, mengambil masa seminggu.
Bagi menghasilkan 10 liter ‘langkau’ mereka memerlukan lima kilogram beras, tujuh kilogram ragi dan lima kilogram gula.
“Adunan ragi, beras dan gula dicampurkan, kemudian dikukus dalam bekas khas berterusan sekurang-kurangnya tiga hari.
“Ketika proses memasak, pembuat langkau akan memasukkan ramuan rahsia mengikut kehendak masing-masing supaya ia lebih 'power'. Biasanya tiada siapa tahu ramuan rahsia ini.
"Proses membuat 'langkau' dilakukan secara bersembunyi,” katanya sambil menambah air ‘langkau’ terhasil daripada air sulingan yang menitis perlahan daripada paip kecil dibuat khas daripada tangki utamanya.
Titisan awal daripada proses sulingan itu, katanya, adalah paling berkualiti dan mendapat permintaan tinggi.
Beliau yang tidak menafikan minuman ini memudaratkan kesihatan berkata, air sulingan pertama boleh dijual dengan harga sekitar RM10 hingga RM15 seliter.
“Harganya tidak tetap. Lain daerah, lain pula harganya,” katanya dan menambah minuman itu akan diisi dalam bekas air mineral untuk memudahkan ia dijual.
Seorang pakar perubatan di Miri berkata, masalah ketagihan ‘langkau’ di Sarawak bukan perkara baru.
“Apa yang membimbangkan kita tidak tahu ramuan rahsia yang digunakan pembuat minuman keras berkenaan. Jika mereka gunakan bangkai haiwan termasuk ular pasti kesannya terhadap kesihatan lebih serius, berbanding penggunaan kaedah tradisional.
“Bisa ular tidak mudah hilang begitu saja walaupun dimasak pada suhu panas. Ia pasti memudaratkan kesihatan untuk jangka panjang termasuk mengakibatkan kanser,” katanya.
Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang, ketika menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Lusut Jaya, dekat sini, baru-baru ini turut merasa bimbang terhadap budaya minum arak termasuk ‘langkau’ di kalangan masyarakat Dayak sekarang.- Berita Harian Online
Biasa urang ke pandai diau aja, urang ke palui ngaga diri pandai...
3 iti jaku nuan:
Apu! Bula endar cherita ti dibantai siko nya! Kati ko ngaga langkau ngena bangkai jelu?!
Puteri-Biasala urang nadai idea bukai ka nulis cerita, sebarang entam ja ngaga cerita.
auk ka ngiga glamer jara tudah hehehe antam sebarang aja
Post a Comment